PADAH menampar dan meletakkan cekodok panas di tangan neneknya, seorang cucu dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Nazri Zol, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah, lapor MalaysiaGazette.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada neneknya Halimah Hassan, 83.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 9.20 pagi di sebuah rumah di Jalan SB 1, Taman Sutera Belia, Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah, pada 21 Oktober lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pertengkaran antara tertuduh yang juga anak sulung dengan emaknya selepas tertuduh menolak neneknya itu.
Tertuduh kemudian turut menampar belakang badan dan muka neneknya serta mengambil kuih cekodok panas dan diletakkan pada tangan kanan warga emas itu.
Tindakan itu menyebabkan wanita terbabit mengalami kecederaan ‘soft tissue injury’ (kecederaan tisu lembut) sebelum tertuduh ditangkap di lokasi sama pada jam 10 malam hari yang sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kesalahan serius yang tidak sepatutnya dilakukan seorang cucu terhadap neneknya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman 12 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 21 Oktober lalu. – Malaysiapost

