“Zaman ‘why’ ada tanduk sudah berakhir” – Mohd Puad

0
1

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi, berkata zaman “why” yang sinonim dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berakhir.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, berkata sedemikian membalas kritikan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwanya perlu meletak jawatan dan bukan membubar Parlimen.

“Masa (Datuk Seri) Mohd Shafie Afdal (jadi ketua menteri Sabah), Tun M senyap pula. Shafie patut letak jawatan. (Tan Sri) Musa (Aman) dakwa dia ada majorit kerana 33 Adun menyokongnya. Tetapi Shafie pujuk TYT (Yang Dipertua Negeri) bubar DUN Sabah.

“Tun M ingat bila dia letak jawatan PM 7, orang akan pujuk dia, menangis dan kata ‘why, why, why’ macam (Tan Sri) Rafidah Aziz. Rupanya (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sahaja yang pujuk Tun M terus jadi PM

“Zaman ‘why’ ada tanduk sudah berakhir. Dengar cerita ada menantu dan anak sudah merancang bermastautin di negara lain. Takut jadi banduan ke?,” tulisnya di hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menerusi hantaran Facebook secara sinis menyindir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara sebagai banduan istimewa yang hadir ke Dewan Rakyat untuk menasihati kerajaan cara mentadbir negara.

Dr Mahathir juga turut mempersoalkan tindakan Ismail Sabri yang tidak meletak jawatan sebaik hilang majoriti sokongan.

Katanya, ia tidak seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan selepas hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Menjawab kritikan Dr Mahathir terhadap Najib, Mohd Puad mengingatkan bekas ahli Parlimen Langkawi itu yang dia membebaskan Anwar sehingga menjadi banduan istimewa.

“Tun M sindir Najib sebagai banduan istimewa. Tun M lupa dia yang bebaskan Anwar sehingga jadi banduan istimewa. Sebelumnya dia tuduh Anwar peliwat yang tidak layak jadi PM.

“Tun M kata Ismail sudah hilang majoriti kerana 12 Menteri menentang arus. Ismail patut letak jawatan. Isunya 12 Menteri itu tidak berani letak jawatan dan tidak berani tekan butang,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mempersoalkan tindakan Ismail Sabri membubarkan Parlimen di sebalik dakwaan ‘kehilangan majoriti’.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata individu lain perlu menggantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Kata Dr Mahathir, situasi tersebut sama seperti Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kehilangan sokongan majoriti pada tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here