GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya banjir melanda ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam satu kenyataan hari ini berkata, SPR sehingga kini masih gagal mengemukakan SOP terbabit walaupun sudah diminta lebih awal.
Katanya, ia perlu disegerakan supaya semua pihak terutamanya parti politik, calon dan agensi-agensi yang bertanggungjawab boleh membuat persediaan bagi menghadapi bencana banjir.
“Sekiranya bencana alam terjadi, apakah SOP untuk meneruskan atau menangguhkan pilihan raya di daerah mengundi tersebut, atau lebih parah penangguhan PRU15 di peringkat nasional,” katanya.
Dalam pada itu, BERSIH kecewa kerana tempoh kempen masih singkat iaitu hanya 14 hari, bermula 5 November sehingga tengah malam 18 November.
“BERSIH kecewa kerana SPR masih tidak menetapkan tempoh kempen pilihan raya minimum selama 21 hari bagi memberi ruang kepada jentera pihak yang bertanding untuk bertemu rakyat memandangkan terdapat pertambahan pengundi sebanyak hampir 6 juta berbanding PRU14 yang lepas.
“Selain itu, tempoh minimum 21 hari juga akan memberi masa yang lebih kepada pengundi pos di luar negara untuk menghantar kertas undi mereka kepada Pegawai Pengurus sebelum masa mengira undi,” katanya.
Kata kenyataan itu, SPR digesa memanjangkan tempoh penutupan bagi permohonan undi pos kategori 1B (yang akan ditutup pada 23/10/2022) sekurang-kurangnya untuk seminggu lagi, seperti tarikh penutupan permohonan undi pos kategori 1C (agensi/organisasi), iaitu pada 26 Oktober 2022.
“Memandangkan SPR baru sahaja mengumumkan tarikh PRU15 hari ini, kemungkinan ramai pengundi luar negara menyedari untuk memohon sebagai pengundi pos kepada SPR,” katanya.
BERSIH berkata, SPR bertanggungjawab memastikan setiap rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk dilibatkan dalam setiap pilihan raya, terutamanya dalam PRU15 ini. – Malaysiapost

