PIMPINAN Parti Amanah mahu Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kekal bertanding di Parlimen Kuala Selangor sekali gus mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Keputusan itu dibuat antara lain susulan keputusan Umno dan Barisan Nasional (BN) mahu meletakkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bertanding di kerusi itu.
Sebelum ini, Dr Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH), beberapa kali menyatakan hasrat memberi laluan kepada calon lebih muda.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata PRU15 ini sangat kritikal dan serius menyebabkan setiap kerusi adalah penting untuk dimenangi oleh PH.
“Kami yakin beliau mampu mengekalkan kerusi ini berdasarkan kerja kuat beliau selama ini. Rakyat Kuala Selangor tahu kegigihan beliau membantu rakyat.
“Di samping tugasan beliau di peringkat negeri Selangor (STFC dan lain-lain) dan sebagai menteri di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dahulu,” katanya menerusi kenyataan.
Justeru, Salahuddin berkata beliau mendoakan kejayaan Dr Dzulkefly dalam PRU15 sekali bersama sekali lagi melaksanakan amanah rakyat untuk negara. – Malaysiapost

