Ben Ibrahim
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan kesediaannya untuk terus mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Jelai dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15)
Beliau berkata, semuanya terpulang kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan kerusi mana bakal ditandinginya.
“Jika pucuk pimpinan memberi keizinan, beri peluang untuk bertanding, saya akan mempertahankan DUN Jelai,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Pahang (i-Push) 2022 di Kuantan, petang tadi.
Seramai 751 peniaga menerima pembiayaan antara RM3,000 hingga RM10,000 melalui kerjasama kerajaan Pahang dan Bank Muamalat.
Wan Rosdy sudah menyandang kerusi DUN Jelai sejak tahun 2004 dan PRU15 adalah penggal kelima jika dipilih sebagai calon.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, UMNO dan BN Pahang belum memutuskan senarai calon bagi mewakili gabungan parti itu dan masih menunggu hasil mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadualkan pada 20 Oktober ini.
“Sudah tentu (calon) adalah kombinasi muka lama, muka sederhana lama dan muka baru.
“Setakat ini saya belum buat analisa lagi mengenai cadangan (peratusan calon muda) untuk pilihan raya kali ini,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun menjelaskan setiap calon ditampilkan Umno dan BN perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan tapisan. – Malaysiapost

