INDIVIDU dipercayai lelaki dalam video tular yang bertindak kasar menolak barangan di atas meja sebuah restoran di Jalan Taman Sri Sentosa Klang Lama, Kuala Lumpur telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku pada 16 Oktober sekitar jam 1.40 pagi di Restoran Amzah Tomyam, Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur.
“Suspek lelaki India telah datang ke restoran tersebut untuk membeli makanan tetapi makanan yang dijual di restoran tersebut telahpun habis.
“Suspek tidak berpuas hati dan terus menolak barang-barang dan menterbalikkan meja serta terus beredar dari restoran tersebut.
“Anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Sektor 27 Balai Polis Petaling telah membuat rondaan susulan daripada kes tersebut dan telah menerima maklumat dari orang awam menyatakan suspek berada berhampiran Surau Al-Akhlaqiah, Seri Sentosa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam berkata, semasa menghampiri suspek telah cuba melarikan diri serta bertindak agresif.
Katanya, tangkapan terhadap suspek berhampiran Flat Petaling Utama, Jalam PJS 1/52, Petaling Jaya telah berjaya dilakukan dengan bantuan dua lelaki awam.
Tambahnya, suspek telah dituduh dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan telah mengaku kesalahan serta didenda RM1,000.
“Pihak polis menasihati orang awam untuk tidak berkongsi apa jua video mahupun sebarang maklumat yang tidak sahih tentang kebenarannya,” katanya. – Malaysiapost

