Peserta Felcra terima durian runtuh hari ini

0
1

SERAMAI 74,949 peserta projek Felcra Berhad bakal menerima durian runtuh yang merupakan hasil keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022.

Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengesahkan pembayaran kepada peserta akan dilakukan secara berperingkat bermula hari ini.

“Sukacita saya mengumumkan jumlah keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022, berjumlah RM181.5 juta kepada seramai 74,949 peserta di seluruh negara.

“Bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini dan boleh digunakan oleh peserta Felcra Berhad untuk kegunaan pelbagai perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra bersama peserta Felcra Berhad, pekebun kecil Risda, Tok Batin dan Penghulu Orang Asli JAKOA, di Arena Merdeka, Tapah, hari ini.

Perdana Menteri turut menzahirkan kegembiraan berhubung kejayaan Felcra mengekalkan prestasi baik meski pun satu ketika wabak Covid-19 melanda negara.

Katanya, faktor-faktor ini di luar kawalan tetapi memberi tempias termasuklah kepada harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit.

Namun begitu, beliau berkata, kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk terus merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu Keluarga Malaysia yang terkesan terutamanya pekebun kecil.

“Alhamdullilah, Felcra Berhad yang telah diberikan mandat tersebut, telah berjaya membangunkan tanah-tanah terbiar kelompok kecil dan kurang berdaya maju, menjadi sebuah estet milik peserta dengan kos pengurusan yang minimum iaitu hanya 6.5 peratus sahaja

“Pandemik Covid-19 dan konflik dunia serta perubahan iklim global telah menjejaskan ekonomi negara termasuklah mengakibatkan kejatuhan nilai ringgit.

“Saya juga gembira kerana Felcra Berhad berjaya mengekalkan prestasi yang baik apabila mencatat kenaikan hampir RM51 juta atau 38.1 peratus berbanding prestasi pada tahun lalu, sekali gus membuktikan kecekapan Kerajaan Keluarga Malaysia dalam mengurus tadbir ekonomi negara dan sekali lagi syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here