PH umum calon bertanding PRU15 Khamis depan

0
1

SENARAI penuh calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk ‘poster boy’ gabungan itu akan dapat diketahui pada 20 Oktober ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, perkara itu akan diumumkan sewaktu Konvensyen PH di Perak.

Beliau berkata, pada konvensyen tersebut, mereka juga akan mengumumkan senarai calon termasuk di Sabah dan Sarawak, tema serta lagu yang akan digunakan sepanjang kempen PRU15.

“Bagi Amanah sendiri, satu mesyuarat peringkat nasional akan diadakan pada Isnin ini bagi memutuskan senarai calon yang akan mewakili parti tersebut.

“Satu mesyuarat peringkat pusat akan diadakan bagi memuktamadkan senarai kerusi dan calon yang bakal mewakili parti itu,” katanya pada sidang media selepas program Bicara Politik PH di Beseri, Perlis. 

Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Noor Amin Ahmad dan Pengerusi Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim

Mujahid menjelaskan, pimpinan Amanah peringkat nasional akan mengumumkan calon mereka sewaktu sidang media yang akan diadakan selepas mesyuarat tersebut.

Jelasnya, Amanah pada awalnya menyasarkan untuk bertanding 30 hingga 40 kerusi Parlimen namun ia bergantung kepada keputusan perbincangan komponen PH.

Mujahid berkata, PH akan bertanding semua kerusi yang ditinggalkan Bersatu dan pengagihan kerusi antara parti komponen gabungan itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here