Muhyiddin minta rakyat keluar mengundi, jangan beri BN menang mudah

0
2

RAKYAT terutama pengundi tidak suka dan marah dengan keputusan kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika musim banjir, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, berkata beliau meminta pengundi tidak menjadikan kemarahan itu sebagai alasan untuk tidak keluar mengundi kerana ia hanya akan memberi kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN).

“Tindakan sedemikian (tidak keluar mengundi) hanya akan memberikan kemenangan mudah kepada BN.

“Saya menasihati juga menasihati pengundi agar membuat pilihan yang tepat dengan memilih PN melihat kepada sumbangan parti itu sewaktu mengetuai kerajaan,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Muhyiddin beramah-mersra termasuk bersarapan pagi dan minum petang dengan masyarakat Tionghoa di pekan Panchor dan Bukit Pasir, Pagoh, Johor, semalam.

Muhyiddin berkata, dalam pertemuan santai itu banyak perkara yang disentuh termasuk keluhan mereka berhubung kenaikan kos sara hidup dan harga barang keperluan sejak beberapa bulan lalu.

“Saya memahami apa yang sedang mereka hadapi sama seperti beribu-ribu lagi kumpulan miskin dan berpendapatan rendah lain yang berhadapan dengan situasi yang serupa.

“Masyarakat berketurunan Cina di Panchor pula menyuarakan rasa bimbang tentang musim hujan yang mula melanda kerana kawasan pekan Panchor merupakan salah satu tempat yang sering dilanda banjir.

“Saya menasihatkan mereka supaya sentiasa berhati-hati dan mendengar nasihat agensi bantuan dan keselamatan,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan PN dan Badan Pimpinan Bersatu Johor menghadapi PRU15, Muhyiddin berkata, pihaknya menekankan semangat kerjasama dan penyelarasan gerak kerja.

“Saya menekankan tentang kepentingan semangat kerjasama, penyelarasan dan komunikasi dalam setiap gerak kerja kita bagi memastikan pengundi menerima mesej yang jelas tentang keberadaan Bersatu dan PN dalam landskap politik negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here