PRU15: Mukhriz mahu pertahan Parlimen Jerlun

0
1

PRESIDEN Pejuang, Datuk Seri Muhkriz Mahathir hari ini mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU14 lalu, Mukhriz, anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu menang kerusi Parlimen Jerlun dengan majoriti 5,866 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Aziz serta calon PAS, Abd Ghani Ahmad.

Menurut Mukhriz, beliau telah melaksanakan pelbagai program pembangunan di kawasan Parlimen tersebut, selain program untuk golongan muda mendapat pekerjaan serta kumpulan penjaja.

“Walaupun telah banyak diusahakan untuk kesejahteraan warga Jerlun, kami sedar masih banyak lagi yang perlu dilakukan.

“Maka saya menawarkan diri untuk terus mewakili Jerlun sebagai Ahli Parlimen, saya memohon sokongan dan undi tuan puan warga Jerlun menjelang PRU15.

“Dengan penuh rendah diri, saya dan seluruh parti Pejuang yang menjadi komponen Gerakan Tanah Air, mohon diberi kepercayaan untuk berkhidmat kepada rakyat Jerlun sekali lagi,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya.

Mukhriz turut menghargai sokongan penduduk Jerlun terhadapnya ketika menjadi kerajaan mahupun semasa bergelar pembangkang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here