PN teliti kerjasama dengan parti lain – Muhyiddin

0
1
Sidang media Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) Dutamas hari ini.

MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan meneliti sebarang kerjasama politik baharu termasuk sama ada ia akan menambah nilai atau tidak menguntungkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebarang kerjasama politik baharu perlu diperhalusi dengan terperinci dan mengambil kira suara kesemua parti komponen.

“Perkara ini (kerjasama politik) kita akan teliti…ini bukan keputusan saya seorang kerana kerjasama ini dengan PN yang mempunyai parti-parti komponen.

“Ini akan dibincangkan Majlis Tertinggi untuk mendapatkan panduan apakah keputusan yang akan dibuat…sampai hari ini kita tidak buat apa-apa keputusan,” katanya dalam sidang media di Pagoh, hari ini.

Beliau menjawab mengenai isu kerjasama dengan parti lain termasuk dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam menghadapi PRU-15.

Menjelaskan lebih lanjut Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, berkata setiap parti komponen PN mempunyai pengalaman masing-masing bersama parti-parti lain sebelum ini.

“Dalam kalangan kita (PN) seperti Pas ada pengalaman, kami Bersatu pun ada pengalaman. Jadi kita nak nilai sama ada menambah nilai atau tidak…menguntungkan atau tidak.

“Jangan menguntungkan satu pihak atau merugikan satu pihak. Atau bagaimana pandangan pengundi kalau hal ini (kerjasama) berlaku, itu kita kena ambil kira,” katanya.

Sementara itu, ditanya soal pembahagian kerusi PN bagi menghadapi PRU-15 nanti, beliau memaklumkan perkara berkenaan sudah berada di peringkat akhir.

“Dalam masa sehari dua ini, jawatankuasa perundingan ini yang sudah lama mula dan sekarang ini kita minta disegerakan yang mungkin dalam masa awal minggu depan dah selesai (pembahagian kerusi),” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap semua pimpinan akan menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan yang diputuskan kelak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here