KENYATAAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Perhimpunan Agung MIC pada Isnin, lalu bukan bermaksud kepimpinan dalam gabungan itu terbabit dalam kegiatan rasuah.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sebagai seorang yang waras dan mendengar sepenuhnya, ucapan Ahmad Zahid yang menamakan beberapa pemimpin BN termasuk dirinya, jelas dibuat secara berseloroh.
Beliau berkata, apa yang lebih penting, dalam ucapan itu Presiden BN menekankan tentang penganiayaan politik yang bakal menanti pemimpin BN sekiranya BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.
“Ucapan Ahmad Zahid itu bukanlah bermaksud pemimpin-pemimpin BN terlibat dalam kegiatan rasuah.
“Sekiranya terdapat sebarang gejala rasuah atau salah laku, seluruh kepimpinan MCA mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan mengikut undang-undang.
“Tetapi janganlah menggunakan tuduhan tidak berasas tanpa sebarang bukti itu untuk kempen pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan pelbagai pihak khususnya pembangkang yang membuat kesimpulan bahawa pemimpin parti komponen BN perlu disiasat kerana rasuah, sebagai reaksi terhadap ucapan perasmian Pengerusi BN, di Perhimpunan Agung MIC pada 10 Oktober lalu.
Ka Siong turut mengulangi kenyataannya pada 3 Februari lalu, bahawa tiada seorang pun pemimpin MCA yang telah didakwa atas tuduhan rasuah, walaupun selepas kekalahan BN dalam PRU-14 pada tahun 2018.
“Namun saya juga ingin mengingatkan, pada 3 September 2018, ketika dakwat PRU-14 masih lagi belum kering, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menggugurkan kes rasuah melibatkan Lim Guan Eng dan Phang Li Koon.
“Menjelang PRU-15, kita dapat melihat khabar angin yang tidak berasas disebarkan dan pembunuhan karakter sedang giat dilakukan. Inilah yang sedang berlaku apabila ucapan Zahid diputar-belit demi kepentingan politik pihak tertentu,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini menjelaskan kenyataannya di Perhimpunan Agung MIC baru-baru ini disalah tafsir sebagai mengakui pemimpin-pemimpin BN terbabit jenayah.
Menurutnya, kenyataannya adalah bermaksud pendakwaan terpilih dan pendakwaan bermotifkan politik yang sengaja direka serta diada-adakan oleh musuh BN untuk menzalimi, merosakkan imej pemimpin BN sekiranya mereka menang PRU-15.
Ahmad Zahid berkata, ia seperti yang dilakukan lawan BN sejurus memegang kuasa pentadbiran negara selepas menang PRU-14 pada 9 Mei 2018. – Malaysiapost

