PERIKATAN Nasional (PN) sedia menimbang jika ada tawaran daripada Parti Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun setakat ini tiada mana-mana pihak daripada Pejuang menghubunginya atau pemimpin PN berhubung perkara tersebut.
“Tetapi kalau pihak yang itu (Pejuang) serius, dan bincang secara serius, kita sedia menimbang (untuk bekerjasama).
“Namun itu bukan hak saya, kena bawa kepada Majlis Tertinggi (PN) sama ada mereka fikir perlu atau tidak perlu,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wartawan sama ada PN bersedia untuk bekerjasama dengan Pejuang dalam PRU15.
Ketika ini Pejuang menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir yang turut dianggotai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), BERJASA serta Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Sementara itu Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengakui beliau pernah berbincang dengan pimpinan Pejuang suatu ketika dulu untuk bekerjasama.
“Dulu pun pernah bincang, awal dulu tapi selepas itu tak jadi apa-apa, jadi saya kurang pasti sama ada serius atau tidak cadangan itu,” katanya.
Mac lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dalam usaha membentuk kerjasama baharu menjelang PRU15. – Malaysiapost

