Pertahan Ketereh, Annuar serah pada parti

0
2

PENYANDANG Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno untuk menentukan sama ada beliau sekali lagi menjadi pertaruhan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Umno Ketereh itu berkata, BN mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk menentukan calon terbaik yang akan bertanding di satu-satu kawasan dan perkara itu tertulis dalam perlembagaan parti.

“Jadi… kita (Umno Bahagian Ketereh) telah membuat cadangan-cadangan nama calon yang akan ditampilkan pada PRU15 nanti. Namun semua itu terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

“Saya berkhidmat atas parti dan kalau parti merasakan saya boleh membantu memberi kemenangan serta disuruh bertanding, saya bersedia untuk bertanding,” katanya pada sidang media selepas Sesi Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, Annuar menegaskan, secara umumnya kesiapsiagaan BN dan Umno telah mencapai pada tahap 80 peratus dan BN akan tampil dengan satu formula politik yang sangat menyakinkan dalam menghadapi PRU15 ini.

Beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi telah melaksanakan semua strategi yang dibincangkan sekali gus memudahkan pucuk pimpinan membuat ketetapan akhir termasuk berunding dengan parti-parti lain untuk menyusun strategi.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan dan insya-Allah BN dan mereka yang bersama akan tampil dengan formula politik yang sangat menyakinkan selain daripada trek rekod kita yang ada di belakang (sebelum ini).

“Saya percaya BN mempunyai satu kelebihan dalam banyak sudut sebagai satu pilihan rakyat,” katanya.

Justeru, Annuar berkata, pihaknya berharap semua parti bersedia dengan pembubaran kali ini memandangkan ia adalah tempoh yang sesuai dan bukan pembubaran di tengah penggal.

“Kita dah masuk penggal kelima iaitu tahun yang kelima,sama ada nak ubah Oktober macam sekarang atau paling lewat kena bubar April tahun hadapan.

“Jadi dalam masa enam bulan , bagi saya tiada beza pun untuk buat bila (bubar) sebab kita dah masuk penggal akhir dan saya percaya semua parti politik sudah buat persiapan bukan sahaja UMNO. Jadi, bertandinglah dengan cara sihat dan baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here