Charles Santiago patut tarik balik saman, mohon maaf kepada Agong – Annuar Musa

0
1

TAN Sri Annuar Musa menyarankan agar Charles Santiago menarik balik saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung proses pembubaran Parlimen.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu turut berpendapat adalah wajar penyandang kerusi Parlimen Klang berkenaan memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung tindakannya itu.

Beliau berkata, tindakan Charles mengemukakan saman berkenaan bukan saja perbuatan sia sia dan cuba membuang masa mahkamah, namun juga merupakan satu perbuatan mempertikai budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Dakwaan kononnya Perdana Menteri tidak mendapatkan pandangan Jemaah Menteri juga adalah tidak benar.

“Ismail Sabri sepanjang kepimpinan amat cermat dalam setiap tindakannya. Beliau yang mempunyai latar belakang undang undang sentiasa memberi perhatian serius pada aspek perundangan dan perlembagaan.

“Anggota Jemaah Menteri khususnya yg mewakili parti parti sudah memberi pandangan masing masing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, setelah jelas dan ada pandangan yang berbeza, maka adalah wajar Perdana Menteri menyembah maklum dan nasihat ke hadapan Agong.

“Yang di-Pertuan Agong pula mempunyai budi bicara mutlak, di bawah perlembagaan Persekutuan, sama ada perkenan membubar atau tidak. Baginda tidak terikat menerima atau menolak nasihat Perdana Menteri.

“Charles Santiago patut menarik balik saman beliau dan lebih wajar memohon maaf kepada Agong,” katanya.

Semalam, Charles menfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri Isnin lalu.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin, bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang Di Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Perkara 55(2) membabitkan Yang Di Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here