Aliff Syukri didakwa memuat naik video bersifat sumbang

0
2

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan memuat naik dan menghantar video bersifat sumbang di media sosial, April lalu.

MalaysiaGazette melaporkan, Aliff Syukri, 35, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Rizki Abdul Jalil.

Beliau selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588).

Mengikut fakta pertuduhan kes, dia secara sedar melakukan kesalahan memuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 13, 15, 17 dan 21 April lalu, yang dilihat pada jam 2.01 petang 24 April di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya.

Jika sabit kesalahan, Aliff Syukri boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.

Usahawan itu tiba di Mahkamah Sepang pada jam 8.30 pagi tadi dengan sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz sebelum disambut peguamnya.

Sebelum ini, Aliff Syukri dipanggil memberi keterangan di SKMM, Cyberjaya bagi membantu siasatan berhubung satu klip video muzik sempena Aidilfitri.

Penayangan video berkenaan melalui media sosial mendapat kecaman ramai pihak berikutan ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata yang tidak sesuai untuk tontonan ramai, lebih-lebih ketika Ramadan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here