BARISAN Nasional (BN) Melaka sudah menyerahkan senarai 30 nama bagi calon enam kerusi Parlimen kepada pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata semua muka baharu itu, iaitu lima calon bagi setiap bahagian diserah untuk saringan dan penilaian berdasarkan kriteria ditetapkan pimpinan pusat kelmarin.
“Semua nama telah diserah dan diperhalusi oleh pihak pusat dan Badan Perhubungan Negeri hanya menunggu keputusan akhir daripada saringan dan penilaian oleh mereka.
“Calonnya pula semua muka baharu, tiada muka Ahli Parlimen lama kerana Tok Mad (Datuk Seri Ahmad Hamzah) pun dah umum tak nak pertahankan jawatan (Parlimen Jasin) kerana mahu memberi ruang kepada orang muda,” lapor MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, mesyuarat melibatkan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC itu bertujuan memperinci lagi gerak kerja parti bagi menghadapi PRU15.
“Kerjasama diberikan parti komponen nampaknya begitu baik dan kita memupuk satu keyakinan bahawa Melaka akan cuba sedaya upaya memberikan kemenangan sejumlah kerusi untuk pimpinan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Kita menyasarkan kemenangan empat kerusi dan satu kerusi tambahan iaitu Masjid Tanah, Jasin, Tangga Batu dan Alor Gajah selain Hang Tuah Jaya.
“Untuk MCA, kuota pembahagian masih sama iaitu dua kerusi masing-masing di Alor Gajah dan Kota Melaka,” katanya. – Malaysiapost

