Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan satu medan pertempuran antara masa lalu dan masa hadapan.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata rakyat perlu memilih sama ada mahu melihat Malaysia mundur ke masa lampau atau memberanikan diri untuk membina masa hadapan baharu.
Beliau berkata, masa lampau negara yang mundur menyaksikan Malaysia sebagai negara kedua terkaya di Asia, dalam tahun-tahun awal negara terus ketinggalan di belakang negara seperti Taiwan, Singapura dan Hong Kong, Korea Selatan dan Vietnam.
“Mahu lihat Malaysia mundur ke masa lampau atau memberanikan diri untuk membina masa hadapan baharu dengan menetapkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara yang diterapkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, namun dilupakan oleh pemimpin kerajaan” katanya dalam catatan di blognya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, pilihannya tidak mudah, namun keadaannya tidak penuh suram dan tanpa harapan.
“Pilihannya tidaklah mudah kerana politik toksik dan perkauman telah meracuni landskap politik Malaysia dalam enam dekad setengah lepas akan muncul menunjukkan sisi terburuknya dalam era maklumat masa kini dengan berita palsu dan fitnah yang diterbitkan sekelip mata.
“Namun, keadaannya tidaklah penuh suram dan tanpa harapan. Seperti mana PRU14 telah capai keajaiban politik dan menumbangkan gabungan Umno-BN yang sebelum ini dilihat kebal,” katanya.
Kit Siang berkata, PRU15 boleh membawa satu lagi keajaiban politik untuk menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip dan dasar yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Ia telah dilaksanakan yang mana panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang telah menyertai empat hakim lain yang bersetuju untuk ‘menghantar’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke penjara atas kesalahan rasuah,” katanya.
Beliau berkata, ini menjadi satu bukti bahawa pemulihan kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman ini bukanlah hanya khayalan, sebaliknya merupakan satu usaha yang sedang berjalan. – Malaysiapost

