Kapal OPV1 dilancar pagi semalam

0
1

KAPAL Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilancarkan di Pelabuhan Klang, pagi semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata kapal itu dilancarkan ke air di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) di Pelabuhan Klang pada jam 5.57 pagi, dengan menggunakan sistem pelancaran ‘Air Balloon’.

Beliau berkata, THHE akan menghidupkan dan mentauliah sistem kapal, membuat ujian di laut serta menyediakan latihan kepada kru kapal selama tiga bulan sebelum majlis penyerahan kapal OPV1  itu kepada Maritim Malaysia dibuat pada awal tahun depan.

“Selepas diserahkan kepada Maritim Malaysia, kapal OPV1 ini dijangka beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali di Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Kapal OPV1 berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar itu berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal kecil.

Kapal yang direka bentuk mengikut kapal Damen 1800 itu, berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa tanpa perlu kembali ke pangkalan bagi menambah bekalan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju sebulat suara untuk memulakan prosiding berhubung pemerolehan OPV milik Maritim Malaysia, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata hasil perbincangan mengenai perkara itu, PAC berpendapat Maritim Malaysia dan KDN perlu memberi penjelasan kepada Parlimen melalui jawatankuasa terbabit bagi memastikan rakyat mengetahui punca sebenar kelewatan pemerolehan berkenaan.

Kontrak pembinaan tiga OPV untuk Maritim Malaysia dianugerahkan kepada syarikat tempatan, THHE Destini, pada 2017.

Maritim Malaysia sepatutnya menerima sebuah kapal OPV pada Ogos lalu selepas kerajaan memberi lanjutan tempoh hingga 18 bulan kepada syarikat pembina untuk menyiapkan tiga kapal OPV berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here