Pihak enggan bubar DUN sebenarnya tamak kuasa – Zahid

0
1

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan upacara menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepda Barisan Nasional (BN) tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian yang ditentukan rakyat.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata naratif sedang dipropagandakan oleh pembangkang ketika ini kononnya BN tamak kuasa apabila meminta PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

“Dalil baharu yang bertujuan mencipta persepsi jahat terhadap BN itu terpesong jauh daripada kebenaran mengenai tujuan sesebuah pilihan raya.

“Pertamanya, sesebuah pilihan raya termasuk PRU15 bermaksud menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu.

“Pilihan raya umum, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, BN tidak boleh didakwa tamak kuasa sedangkan PRU15 adalah memberi mandat rakyat dan kuasa sepenuhnya menentukan masa depan negara.

Katanya, gabungan politik tamak kuasa adalah gambaran sesuai kepada pihak yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar terus kekal mempertahankan kuasa.

“Enggan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan.

“Sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir akan kehilangan kuasa.

“BN jika tamak kuasa seperti mereka boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN, namun bukan itu tujuan politik BN,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata alasan risiko banjir besar sudah tidak lagi relevan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU15 berlangsung sebelum pertengahan November.

“Rakyat perlu menolak gabungan tamak kuasa terbabit yang jelas tidak peduli masa depan rakyat dan negara kecuali kepentingan politik mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here