Pembubaran DUN Pulau Pinang masih jadi tanda tanya

0
1

KERAJAAN DAP Pulau Pinang masih mengunci mulut mengenai keputusan yang dicapai berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang selepas Parlimen dibubar semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow masih enggan mendedahkan keputusan yang dicapai selepas dua kali mempengerusikan mesyuarat dengan pimpinan tertinggi DAP negeri dan pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

“Kami sudah mencapai satu kata putus yang perlu merujuk kepada PH pusat sebelum membuat sebarang pengumuman,” katanya.

Kon Yeow berkata kata putus sama ada DUN Pulau Pinang dibubarkan atau sebaliknya perlu dibawa kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.

Majlis Presiden PH sebelum ini memutuskan tiga negeri yang ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang turut menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Kon Yeow hari ini, telah menyuarakan pendirian parti itu negeri untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang.

“Keputusan kami ikut Majlis Presiden PKR, memanglah ada ‘pros and cons’, (kalau tidak bubar), tapi kita kena hormat keputusan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim), untuk tidak bubar tiga negeri Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa semalam untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Susulan pembubaran itu, Ismail Sabri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here