KEPUTUSAN membubarkan Parlimen semalam bertujuan menoktahkan suara-suara selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembubaran tersebut adalah rentetan perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.
“Tindakan menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri, sejak akhir-akhir ini, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.
Malah, katanya, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.
“Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa Kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.
“Kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.
“Negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang,” katanya.
Semalam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa.
Baginda bertitah tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil. – Malaysiapost

