DAP takut risiko banjir, namun hormat pembubaran Parlimen

0
2
Logo DAP

MESKIPUN DAP menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat, namun parti itu tetap menghormati tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen, hari ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, walaupun berdepan risiko banjir, DAP terpaksa akur kerana keputusan membubarkan Parlimen dibuat berdasarkan lunas yang tertera dalam Perlembagaan negara.

“Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebentar tadi, beliau telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen hari ini dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan dalam tempoh masa 60 hari.

“Kita telah berulang kali menyatakan pendirian bahawa pilihan raya umum tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan terdapat risiko banjir melanda negara, namun DAP menghormati keputusan yang telah dibuat mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, seluruh jentera pilihanraya DAP akan diaktifkan serta merta untuk menghadapi kempen PRU15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Anthony berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam esok bagi membincangkan persiapan menghadapi PRU15.

“DAP juga akan terus mendokong keputusan Majlis Presiden PH untuk tidak membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan supaya kerajaan negeri masing-masing boleh terus fokus untuk bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana berlaku.

“Seluruh pimpinan dan anggota parti akan dikerahkan untuk berkempen demi memenangi mandat rakyat untuk Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengimbas beberapa kenangan dan peristiwa penting yang melanda negara sepanjang empat tahun sebelum Parlimen penggal Ke-14 dibubar hari ini.

“Banyak perkara yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kerajaan BN akhirnya tumbang selepas memerintah lebih 60 tahun, bekas Perdana Menteri dipenjarakan, kerajaan perubahan Harapan baharu yang dikhianati pengkhianat yang menggulingkan kerajaan Harapan yang dipilih dengan gabungan katak politik.

“Nasib baik, kita berjaya melakukan beberapa perubahan kepada negara sebelum kejatuhan kerajaan. (Mengurangkan rasuah, memulakan pembayaran tanpa tunai dalam masa hadapan digital dan mengurangkan kadar tol.)

“Walaupun ia hanya untuk jangka pendek, saya tetap gembira dan berbesar hati kerana dapat berkhidmat untuk negara dengan baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here