YANG di-Pertuan Agong bertitah agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat, mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November ini.
Datuk Pengelola Bijaya, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.
“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, kenyataan itu juga memberitahu Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Negara, semalam.
Dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula jam 12 tengah hari itu, Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan untuk perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran Parlimen Ke-14 berkuatkuasa hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini untuk memberi laluan kepada PRU15.
Perdana Menteri membuat pengumuman itu selepas menghadap dan mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan menghadap Baginda, semalam. – Malaysiapost

