BAJET 2023 tidak melupakan nasib penjaja kecil dan pemandu teksi.
Dalam ucapan pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz turut memberikan khabar gembira untuk golongan berkenaan.
“Selain itu, sebagai usaha membantu khususnya penjaja kecil berniaga, kerajaan akan memberi geran one-off RM1,000 kepada semua syarikat PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana)
berdaftar dan pemandu teksi berdaftar.
“Dijangka sejuta perniagaan akan menerima manfaat daripada pemberian ini dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, Bajet 2023 turut responsif dalam menyokong aktiviti perniagaan khususnya melibatkan PMKS.
“Kerajaan akan giat membantu syarikat PMKS melalui pemberian insentif dan kemudahan pembiayaan yang pelbagai.
Tengku Zafrul juga mengumumkan, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi 100,000 pertama dikurangkan daripada 17 kepada 15 peratus.
“Pengurangan ini dijangka memberi penjimatan sehingga RM2,000 kepada 150,000 pembayar cukai PMKS,” katanya. – Malaysiapost

