BAJET 2023 memperuntukkan pertambahan RM5 bilion untuk skim SemarakNiaga 2023 bagi merancakkan lagi aktiviti perniagaan pada tahun hadapan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, dengan iltizam merancakkan lagi aktiviti perniagaan, SemarakNiaga 2023 ditambah baik dengan nilai keseluruhan RM45 bilion berbanding RM40 bilion bagi tahun 2022.
Beliau berkata, nilai itu merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan.
Tengku Zafrul turut mengumumkan Bajet 2023 merangkumi sejumlah 1.7 bilion daripadanya yang tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil.
“Pertama: pinjaman mikro BSN dengan ketersediaan dana RM950 juta. Ini termasuk RM350 juta untuk Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia dengan RM150 juta dikhususkan untuk peniaga Bumiputera;
“Kedua: skim pinjaman kepada pengusaha kecil di bawah TEKUN khusus untuk Bumiputera, wanita, belia dan sektor tidak formal dengan peruntukan RM300 juta;
“Ketiga: kemudahan pinjaman perniagaan khusus kepada kaum cina dengan ketersediaan dana RM200 juta dan kadar faedah serendah 4 peratus;
“Keempat: kemudahan pinjaman mikro di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) disediakan dana RM25 juta. Selain itu, RM100 juta juga disediakan di bawah MITRA antaranya bagi pembangunan usahawan kaum india.
“Kelima: program kewangan sosial iTEKAD disediakan RM10 juta dan turut dipadankan bersama dana institusi kewangan melalui sumbangan zakat dan wakaf tunai,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023, di Dewan Rakyat, hari ini. – Malaysiapost

