POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata seperti tahun-tahun sebelum ini, PDRM sentiasa membuat persediaan rapi termasuk dari sudut sumber manusia dan aset bagi memastikan kelancaran PRU15.
“Dengan persiapan yang telah kita lakukan, kita berdoa mudah-mudahan PRU15 dapat dijalankan dengan lancar, tenteram, aman serta terkawal,” lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Pengkalan Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, Pulau Pinang, hari ini.
Spekulasi PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat semakin bertiup kencang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengadakan perbincangan dengan Acryl Sani serta Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya selama hampir lima jam kelmarin. – Malaysiapost

