Isu tidak mengurus tuntutan harta pusaka membimbangkan – Idris Ahmad

0
2

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang berusaha mencari mekanisme terbaik untuk memudahkan pengurusan harta pusaka di Malaysia terutama membabitkan harta pusaka yang tidak dituntut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata susulan itu pihaknya bersama Bahagian Penyelidikan JAKIM mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan berhubung perkara itu hari ini.

Beliau berkata, sikap tidak mengendahkan pengurusan harta pusaka si mati, menyebabkan banyak harta pusaka yang tidak dituntut.

“Isu tidak mengurus tuntutan harta pusaka ini amatlah membimbangkan.

“Alhamdulillah, perbincangan isu penting ini disertai oleh badan-badan bertanggungjawab,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, pihak yang menyertai perbincangan itu adalah Jabatan Ketua Pengarah, Tanah dan Galian (JKPTG), Amanah Raya Berhad (ARB), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

Katanya, pihak lain yang terbabit adalah Jabatan Peguam Negara (AGC), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan(MSWP), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) serta ahli akademik.

“Saya mendengar dan mengamati setiap pembentangan daripada kesemua agensi berkenaan, pelbagai input dipersembahkan dalam memperkasakan dasar dan mengatasi isu-isu yang timbul dalam masyarakat kita hari ini.

“Antara masalah yang besar lain adalah tiada kesepakatan antara waris, sering berlaku perbalahan tentang hak masing-masing dan waris merasakan proses tuntutan harta pusaka rumit untuk diuruskan,” katanya.

Beliau berharap perbincangan itu mencapai objektif yang digariskan seterusnya dapatan-dapatan yang diperoleh dapat dijadikan panduan oleh agensi kerajaan amnya dan masyarakat khususnya.

“Tahniah diucapkan kepada Bahagian Penyelidikan JAKIM dan ribuan terima kasih kepada seluruh peserta yang terlibat dalam menyumbang buah fikiran bersama-sama kami,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here