Cadangan penambahbaikan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin.
Beliau berkata, penyataan dan kertas pindaan RUU tersebut akan dibentangkan minggu ini, sebelum bacaan keduanya diteruskan tidak lama lagi.
“Pagi tadi saya mempengerusikan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) bagi Menimbang Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
“Dalam mesyuarat ini, JKPK memuktamadkan deraf penyata laporan dan secara konsensus dengan semangat bi-partisan telah bersetuju atas cadangan-cadangan pindaan ke atas RUU ini.
“Pelbagai cadangan dan pandangan daripada ahli-ahli JKPK yang mewakili parti masing-masing telah dikemukakan dan diberi perincian khusus sepanjang JKPK ini berlangsung,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu meluluskan RUU berkenaan untuk dirujuk kepada JKPK yang dianggotai 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dan dipengerusikan Menteri Kesihatan.
Ia bagi membolehkan jawatankuasa itu membuat syor untuk meneliti bahagian penguatkuasaan dalam RUU tersebut dan mencadangkan sebarang penambahbaikan jika perlu, tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.
RUU berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG) bagi merokok. – Malaysiapost

