HARGA jualan minyak masak botol akan diturunkan antara 40 sen dan RM2, berkuat kuasa 8 Oktober sehingga 7 November ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata harga minyak masak dengan kandungan 5 kilogram (kg) mencatat pengurangan terbesar iaitu daripada RM33.50 kepada RM31.50.
Beliau turut mengumumkan penurunan harga minyak masak botol 3 kg daripada RM21.10 kepada RM19.90, 2 kg (RM14.30 kepada RM13.50) dan RM7.50 kepada RM7.10 bagi botol 1 kg.
Sementara itu, pada sidang media di Parlimen, Alexander berkata, penurunan harga itu dibuat susulan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga minyak masak sawit tulen botol 1 kg hingga 5 kg.
“Penetapan harga baharu bagi minyak masak tulen botol diharap berupaya memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa kementeriannya termasuk harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran secara rasmi.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga minyak masak sawit dalam botol akan ditetapkan secara bulanan berdasarkan harga satu tan Crude Palm Oil (CPO) bulan sebelumnya.
Kadar siling bulanan itu akan ditetapkan melalui kaedah pengiraan ditentukan KPDNHEP selepas rundingan bersama penggerak industri minyak sawit tulen – Malaysiapost

