RM1 juta untuk program Pintar Botani Tabika Kemas

0
1

JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Pintar Botani melibatkan 500 Tabika Kemas di seluruh negara mulai tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Modul Pintar Botani itu adalah aktiviti luar bilik darjah yang menerapkan aspek Sains dan Teknologi serta Amalan Gaya Hidup Sihat melalui makanan seimbang dan berkhasiat.

“Program ini adalah aktiviti mengindahkan persekitaran Tabika Kemas dengan mendidik kanak-kanak menanam sayur-sayuran serta buah-buahan dan hasil tuaiannya boleh dimasukkan dalam menu makanan yang disediakan pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan.

“Ini sekaligus menjadi usaha Kemas untuk memastikan kanak-kanak mendapat zat makanan seimbang agar tahap kesihatan fizikal dan mental lebih baik, selain mereka mendapat pengalaman menyeronokkan sepanjang belajar di Tabika Kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari POTENSI KEMAS Peringkat Kebangsaan 2022 Edisi ke-17 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim.

Jelas Mahdzir, aktiviti di luar bilik darjah menerusi Modul Pintar Botani itu juga membantu pembentukan pemikiran kreatif dan sifat bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak.

“Program ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan tanah dan menceriakan kawasan TABIKA, malah menjadikan persekitarannya lebih menarik dengan penyediaan landskap serta tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan yang akan ditanam,” katanya.

Pada masa yang sama Mahdzir berharap Program Pintar Botani mendapat sokongan dan juga kerjasama ibu bapa dan penduduk sekitar premis Tabika Kemas.

“Penglibatan program Pintar Botani ini berkonsepkan Keluarga Malaysia melalui penglibatan pelbagai pihak seperti Jawatankuasa Aktiviti Tabika, ibu bapa dan penduduk setempat, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Kementerian Kesihatan dan NGO,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here