Renjatan elektrik, mulut kebas punca Noh meludah

0
1

RENJATAN elektrik daripada mikrofon yang menyentuh wajah dibasahi peluh hingga mulut kebas, didakwa punca Noh Salleh meludah di pentas Konsert Hausboom Music 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, kelmarin.

Pengurus kumpulan Hujan, Ahmad Ariffin Ahmad, menjelaskan ketika itu, berlaku beberapa masalah teknikal yang didakwa menjejaskan persembahan Noh di pentas.

Beliau berkata, Noh sepatutnya tampil dengan gitar, namun, disebabkan masalah teknikal, dia terpaksa menyanyi tanpa memetik gitar.

“Pada masa sama, mikrofon dipegang mengalami masalah. Ketika meletakkan mikrofon berhampiran mulutnya, Noh terkena sedikit renjatan elektrik.

“Ini terhasil kerana wajahnya dibasahi peluh dan air menyebabkan mulutnya kebas. Bagi mengalih rasa sakit, Noh secara spontan meludah di atas pentas.

“Dakwaan konon Noh meludah ke arah penonton tidak benar. Sebaliknya, dia meludah atas pentas,” katanya memetik laporan Berita Harian ketika mengulas rakaman video memaparkan aksi Noh yang tular sejak malam tadi.

Beliau turut menjelaskan jarak antara pentas dan penonton dipisahkan besi penghadang, jadi tidak mungkin (ludah) terkena penonton.

“Jika Noh ludah ke atas, mungkin tempias air liur kena kepada penonton. Sebab itu, Noh tunduk.

“Namun, jika ada yang terkena tempias ludah Noh, kami mohon maaf kerana perkara itu tidak disengajakan,” dakwanya.

Sejak malam tadi, tular rakaman video memaparkan aksi Noh meludah di atas pentas ketika membuat persembahan pada Konsert Hausboom Music 2022 di MAEPS, Serdang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here