BARU-BARU ini, Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet, 11 minit sebelum tamatnya 4 tahun penggal perlantikan beliau ke jawatan tersebut, telah menerbitkan laporan 45 muka surat bertajuk “OHCHR Assessment of human rights concerns in the Xinjiang Uyghur Autonomous Region, People’s Republic of China”.
Laporan tersebut yang tergendala sejak sekian lama akibat tekanan daripada Beijing telah dipaparkan di laman web Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Asasi Manusia (OHCHR) dan antara lain mengesahkan terdapat pencabulan hak asasi manusia oleh kerajaan China terhadap etnik Uyghur di Xinjiang yang rata-ratanya adalah beragama Islam.
Biarpun laporan tersebut tidak mengemukakan sebarang bukti bahawa berlakunya penghapusan etnik Uyghur seperti yang didakwa beberapa pihak, jelas terdapat kes penganiayaan bersikap perkauman ditujukan kepada etnik itu di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR) terutamanya terhadap wanita.
Antara kezaliman yang dijelaskan secara terperinci di dalam laporan tersebut adalah pengguguran secara paksa, pemandulan ke atas ratusan ribu wanita, serta penyeksaan secara sistematik terhadap individu di pusat tahanan yang dikelabui dengan nama Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional (VETC).
Namun begitu, biarpun berita berkenaan penindasan saudara seagama kita di Xinjiang telah mula diketahui umum sejak tahun 2017 lagi, tiada isyarat jelas berkenaan pendirian negara Malaysia melalui pemimpin-pemimpinnya yang silih berganti terhadap isu ini.
Terdapat empat Perdana Menteri dan empat barisan kabinet berbeza di Malaysia sejak isu ini mula ditimbulkan ke dunia luar namun Malaysia masih kelihatan teragak-agak untuk maju ke hadapan menjadi pembela ummah seperti kebiasaannya.
Lebih parah lagi, Malaysia semasa di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019, telah menolak pelawaan untuk menandatangani surat kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia yang mengutuk penahanan besar-besaran China terhadap Uyghur.
Ini sangat-sangat bertentangan dengan imej Malaysia yang selalu ke hadapan apabila berbicara mengenai permasalahan ummah seperti yang berlaku di Palestin, Somalia, Bosnia dan Myanmar.
Apakah nasib para muslimin dan muslimat di Xinjiang ini tidak memerlukan pembelaan seperti mana saudara seagama kita di negara lain?
Mengapa Malaysia terlalu berhati-hati dalam mengeluarkan kecaman mahu pun kenyataan keras menentang segala jenis kezaliman terhadap etnik Uyghur?
Sekiranya soal agama diketepikan sekalipun, apa yang berlaku di Xinjiang adalah pencabulan hak asasi manusia yang sangat dahsyat, yang memerlukan Malaysia menetapkan pendirian dengan jelas bahawasanya kita tidak bersama dengan para pencabul dan penzalim ini.
Adalah sesuatu yang memalukan apabila negara-negara bukan Islam seperti Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, dan Kanada lebih ke hadapan dalam menzahirkan bantahan mereka terhadap penganiayaan secara terbuka yang dilakukan oleh kerajaan China.
Sekiranya Malaysia bimbang sebarang bentuk kecaman rasmi akan menimbulkan masalah diplomatik dan menjejaskan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, kerajaan bolehlah menggunakan saluran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti mana yang dibuat apabila mengemukakan sokongan terhadap Afghanistan semasa negara itu melalui krisis kepimipinan dengan Taliban.
Namun, amatlah mengecewakan Malaysia selaku antara negara yang selalu menjadi rujukan oleh ahli-ahli OIC bukan sahaja tidak bersuara, malahan tidak langsung mengetengahkan perihal krisis kemanusiaan di Xinjiang ini dalam pelbagai siri dialog dan mesyuarat bersama-sama negara-negara anggota yang lain.
OIC sehingga kini masih buta dan tuli seolah-olah tiada apa-apa masalah ummah sedang berlaku di China.
Dengan adanya laporan rasmi daripada PBB, yang mana Michelle Bachelet sendiri telah pergi melawat ke Xinjiang dan memperincikan dapatan pemerhatian beliau, tidak ada lagi alasan oleh kerajaan Malaysia untuk terus berdiam diri mengambil pendirian berkecuali.
Tatkala terdapat pemimpin Islam di Malaysia yang terlebih lantang berbicara isu-isu tempatan seperti kualiti filem Mat Kilau, pelawak buka baju di kelab komedi mahupun bantahan terdapat konsert artis negara luar, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri perlulah menyerlahkan keterampilan dan wibawanya untuk menjadikan pembelaan ummah di Uyghur sebagai teras kepimpinan dasar luar beliau.
Ini adalah masalah ummah yang sangat besar untuk terus diketepikan.
Sesungguhnya, untuk setiap hari Malaysia memilih untuk terus sunyi, ratusan ribu etnik Uyghur terus dicabuli dan dizalimi.
KHAIRUL NIZAM
Ummah Gelisah

