TERBUKTI kisah dongeng yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ‘Arab Gila’ saja yang sanggup menderma jutaan ringgit kepada Datuk Seri Najib Razak, akhirnya terjawab dalam perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Perkara itu dikongsikan oleh Datuk Lokman Noor Adam yang memaklumkan Mahkamah Tinggi diberitahu perkara itu oleh saksi yang merupakan Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wei Kiat.
Menurut Lokman dalam prosiding yang berlangsung, Yap mengesahkan transaksi wang dari Kementerian Kewangan Arab Saudi ke akaun bekas Perdana Menteri itu.
Yap telah memberi keterangan lisan dalam perbicaraan rasuah 1MDB berhubung penyelewengan RM2.28 bilion membabitkan Najib, petang tadi.
“Sebelum ini kita digambarkan oleh Tun Mahathir bahawa surat daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi yang menyatakan kesediaan mereka menyumbangkan dana kepada Najib sebagai tidak benar.
“Malah, Tun M mengatakan hanya ‘Arab Gila’ akan menderma kepada Najib.
“Hari ini, peguam Najib ketika menyoal balas Yap dari Ambank telah mendedahkan pengesahan transaksi pindahan masuk daripada Kementerian Kewangan Riyad ke akaun Najib,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya, hari ini.


Lokman yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno turut memuat naik beberapa salinan transaksi berkenaan di Facebook miliknya.
“Kepada sesiapa yang mengenali atuk (Tun M) tolong sampaikan dokumen ni kepadanya.
“Moga dia sempat memohon maaf dan tidak merangkak mencari Najib di Padang Mahsyar kelak,” katanya.
Memetik laporan Malaysiakini, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi pendakwaan ke-38 itu menjelaskan atas sebab itu akaun tertuduh yang berakhir dengan 694 dengan bank komersial itu mewujudkan kod nama “MR Banking AmPrivate” dan bukannya namanya.
Peguam berkenaan ingin mengetahui mengapa walaupun nama kod diberikan tetapi Yap masih boleh memberi keterangan bahawa akaun bank itu adalah milik Najib.
Wan Aizuddin secara khusus menyoal tentang aliran masuk kira-kira AS$20 juta (RM60,629,839.43) ke dalam akaun Najib daripada Putera Faisal Turki Bandar al-Saud antara 24 Feb dan 14 Jun, 2011, dalam dua urusniaga berjumah kira-kira AS$10 juta setiap satu.
Yap menjelaskan bahawa pengurus perhubungan Ambank, ketika itu, Joanna Yu telah memberitahunya bahawa dia mewujudkan nama itu kerana tertuduh ketika itu adalah individu yang terdedah secara politik.
Saksi itu berkata Joanna memberitahunya sedemikian semasa mengatur penukaran mata wang asing berjuta-juta dolar kepada ringgit ke dalam akaun Najib.
Yap berkata bahawa nama itu akan menghalang orang luar – seperti peserta pasaran pertukaran asing – untuk mengetahui tentang sebarang transaksi besar yang mengalir masuk atau keluar daripada akaun. -Malaysiapost

