MALAYSIA satu-satunya negara yang membuat pungutan suara tidak mahu Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera.
Sehubungan itu Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan situasi pelik melanda Malaysia ketika ini apabila terdapat pihak tertentu mengadakan pungutan suara tidak mahu PRU diadakan awal.
Sebaliknya, Asyraf menjelaskan, negara luar sering membuat pungutan suara mendesak PRU diadakan awal dan tidak pernah lagi berlaku seperti di Malaysia.
“Negara luar buat pungutan suara untuk menyegerakan PRU bagi menghentikan ketidakstabilan yang berlaku dalam kerajaan.
“Negara kita buat pungutan suara untuk menangguhkan PRU bagi memanjangkan tempoh hayat ketidakstabilan dalam kerajaan,” katanya.
Sebelum ini satu pungutan suara dilancarkan di media sosial yang akan mendapatkan seberapa ramai tanda tangan rakyat Malaysia untuk mendesak Yang di-Pertuan Agong tidak memperkanankan sekiranya kerajaan mengadakan PRU awal, pada tahun ini.
Semalam Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta rakyat menandatangani petisyen sebagai usaha membantah PRU15 diadakan semasa musim banjir.
“Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran.
“Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik,” katanya. – Malaysiapost

