BEKAS pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memuji tindakan bekas partinya itu yang memutuskan tidak bermusuhan dengan Umno.
Beliau berkata, kenyataan PAS yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini, jelas menunjukkan komitmen parti itu untuk terus menjaga hubungan dengan Umno.
“Sudah dua kali SUA PAS keluarkan kenyataan dalam isu ini. Saya sangat menyokong usaha ini dan tanpa henti saya menyuarakannya.
“Kenyataan SUA ini sekali gus menjadi panduan kepada semua peringkat kepimpinan untuk melakukan gencatan senjata terhadap Umno dan memadamkan semua gelaran seperti “Kluster mahkamah” dan sebagainya,” katanya.
Khairuddin berkata, akar umbi PAS telah lama akur mengenai hubungan baik parti itu dengan Umno.
“Persepakatan antara ahli dua parti Islam Melayu inilah yang telah diperjuangkan menerusi Muafakat Nasional sejak 14 September 2019. Ia telah “ditajdidkan” kembali menerusi Usul Muktamar PAS lalu
“Ahli PAS tentu akur kerana itulah yang dituntut oleh ahli di cawangan-cawangan agar persaudaraan terus tercantum antara umat Islam, hanya menantikan tindakan oleh kepimpinan utama PAS.
Kelmarin, PAS mengeluarkan kenyataan menuntut ahli-ahlinya tidak memerangi dan memusuhi parti yang berteraskan Melayu dan Islam. – Malaysiapost

