Kenapa perlu tergesa adakan PRU-15 jika yakin menang? – Pemuda Ikatan

0
1

SELAIN ancaman bencana banjir, faktor petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kebanyakan terdiri daripada guru perlu diambil kira sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mahu diadakan tahun ini.

Ketua Pemuda Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Shahir Adnan, berkata pastinya tunjuk ajar guru amat ditagih calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu, sebaliknya jika PRU-15 diadakan tahun ini juga akan merencatkan pembelajaran mereka.

“Pemimpin parti politik juga harus memikirkan keadaan anak-anak muda yang mahu fokuskan kepada peperiksaan SPM demi masa depan mereka.

“Amatlah tidak masuk akal untuk pemimpin politik menggunakan tenaga kerja guru-guru untuk menjaga pusat membuang undi di sekolah daripada menumpukan tugasan guru-guru untuk mendidik anak bangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahir menegaskan, pihak yang yakin akan memenangi PRU-15 tidak sepatutnya risau sekiranya ianya diadakan pada tahun hadapan.

“Sememangnya pilihan raya adalah proses demokrasi, namun percaturan tarikh pilihan raya perlu mengambil kira keadaan rakyat dan anak muda.

“Kiranya mereka yakin menang, pilihan raya boleh diadakan apabila habis penggal. Pada waktu itu, rakyat boleh memilih pemimpin pilihan mereka. Menang atau kalah adalah adat bertanding, jadi buat apa tergesa-gesa sekarang?” katanya.

Shahir menambah, sekolah yang menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir pastinya akan menyebabkan gangguan kepada pusat pembuangan undi yang kebanyakannya diadakan di sekolah.

“Pemuda Ikatan mengingatkan semua pihak bahawa setiap kali banjir, rakyat perlu dipindahkan ke kawasan selamat, selalunya bangunan sekolah yang dijadikan pusat penempatan banjir.

“Bagaimana mahu mengadakan pilihanraya yang selalunya pusat pengundian juga dilakukan di sekolah?

“Amatlah tidak masuk akal untuk mengundi di sekolah ketika rakyat cuba meneruskan hidup di pusat penempatan banjir di bangunan sekolah yang sama,” katanya.

Menurutnya kejadian banjir besar yang berlaku pada tahun 2014 melibatkan negeri-negeri pantai timur sepatutnya menjadi iktibar semua pihak.

“Umum mengetahui setiap hujung tahun, negeri-negeri di Pantai Timur dan negeri di Selatan bakal menerima hujan yang banyak hingga menyebabkan banjir.

“Mungkin ada yang masih ingat kejadian bah besar di Kuala Krai pada tahun 2014. Adalah tidak sensitif untuk mengadakan pilihan raya ketika rakyat ditimpa musibah,” katanya.

Justeru, Shahir berkata, Pemuda Ikatan menyokong penuh cadangan untuk tidak membubarkan Parlimen, seterusnya tidak mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here