PM berani tekan kuasa besar hapuskan kuasa veto PBB

0
2
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2021. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan kepada media ketika keluar dari Istana Negara selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

TINDAKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi tekanan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya kuasa veto di Majlis Keselamatan dihapuskan membuktikan keberanian pemimpin Umno itu.

Ketua Umno Bahagian Alor Setar Datuk Mohd Yusof Ismail, berkata keberanian yang ditunjukkan Perdana Menteri di persidangan antarabangsa itu membuktikan beliau dapat mengemudi negara sebagai ketua kerajaan dengan baik.

“Ucapan Perdana Menteri satu langkah berani dari sebuah negara kecil. Saya yakin ada perkara yang besar nak dilakukan, kalau di pentas PBB pun boleh berucap jadi dalam negara Perdana Menteri boleh laksanakan perkara yang besar.

“Membatalkan kuasa veto yang dimiliki oleh China, Amerika Syarikat (AS) serta beberapa negara besar lain bukan perkara mudah, tapi ucapannya jelas menunjukkan keberanian beliau sebagai seorang Perdana Menteri dan ketua kerajaan,

“Walaupun dari satu sisi kita nampak beliau seorang yang lembut, nampak lembut tapi tegas dalam membuat keputusan, itulah Ismail Sabri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusof berkata, ketegasan Ahli Parlimen Bera itu dalam menuntut keadilan supaya kuasa besar campur tangan membantu menyelesaikan konflik di Palestin, Myanmar dan terbaru di Laos juga membuka mata PBB untuk bertindak segera.

Menerusi ucapan di Perhimpunan Agung PBB ke-77 (UNGA77) di New York, AS baru-baru ini, Ismail Sabri mewakili Malaysia meminta kuasa veto yang ada pada Majlis Keselamatan PBB dihapuskan selaras dengan prinsip satu negara satu undi.

Kata Ismail Sabri, sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

Menurutnya, konflik dan krisis yang berlaku seperti di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan kerana kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

Beliau berkata, masalah paling besar di PBB ialah Majlis Keselamatan, yang menyaksikan kuasa veto sering kali disalah gunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

Sementara itu, mengulas lanjut Mohd Yusof turut memuji Perdana Menteri dengan yakin berbahasa Melayu di pentas PBB lengkap dengan pakaian tradisional Malaysia.

Beliau mencadangkan supaya semua pihak berkepentingan menjadikan Bahasa Melayu sebagai utusan rasmi ia termasuk berkaitan surat menyurat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here