MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa wakil rakyat pembangkang tidak kelihatan walaupun beberapa kawasan di negeri berkenaan dilanda banjir termasuk kawasan Parlimen mereka sejak beberapa hari lalu.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan pembangkang tidak pedulikan bencana yang melanda dan hanya turun ke kawasan mereka apabila pilihan raya sahaja.
“Sehari dua ini, banjir juga telah berlaku di Parlimen Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading namun kelibat Ahli Parlimen di kawasan-kawasan ini langsung tidak dirasai.
“Oleh itu, mungkin tidak menjadi masalah untuk Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang lain jika diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) semasa musim banjir.

“Mereka bukannya turun ke kawasan pun walaupun berlaku banjir. Biasanya masa kempen PRU barulah mereka akan menjelma,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Untuk rekod veteran DAP Lim Kit Siang adalah Ahi Parlimen Iskandar Puteri, manakala Pengerusi PH Johor Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah Ahli Parlimen Pulai dan Datuk Dr Shahruddin Salleh dari Pejuang adalah Ahli Parlimen Sri Gading.
Sementra itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengucapkan syabas kepada jentera Barisan Nasional (BN), Umno dan Pemuda Umno Bahagian-Bahagian di Johor.
Dalam satu hantaran di Facebook, harini, beliau mengucapkan tahniah kerana BN dan Umno menjadi antara yang terawal turun dan bantu mangsa-mangsa banjir yang berlaku di beberapa kawasan Parlimen sekitar Johor.
“Ada betul juga kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz dalam status FBnya, kelibat wakil-wakil rakyat PH yang berdegar-degar desak fokus bantu banjir tidak pula kelihatan.
“Dalam media sosial pimpinan mereka juga sunyi sepi kecuali seorang YB DAP wanita Marina yang kemaskini statusnya meninjau keadaan hujan lebat. Mana pula jentera parti MUDA yang berdemo di hadapan Sogo tempoh hari?” soalnya. – Malaysiapost



