DATUK Seri Jamal Yunos menafikan dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang beliau menyertai rombongan Perdana Menteri ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York.
Sebaliknya, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata beliau hanya berada di kawasannya dan tidak ke mana-mana.
Malah katanya, pagi ini beliau bersarapan bersama rakan-rakan di Sungai Besar dan mustahil dengan sebegitu cepat dapat pulang dari New York.
“Teresa Kok kata saya turut serta dalam rombongan Perdana Menteri ke UNGA 77 di New York sedangkan saya berada di Sungai Besar.
“Pagi ni bersarapan bersama rakan-rakan di Binjai Jaya. Cepat juga saya sampai ya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau turut berkongsi beberapa gambarnya bersama beberapa individu lain di sebuah warung.
Semalam Kok mendakwa Jamal menyertai rombongan ke UNGA bersama Perdana Menteri dan mempersoalkan mengapa dan atas kapasiti apa Ketua Umno Sungai Besar itu berada di Amerika Syarikat.

“Saya fikir dia (Jamal) tidak sihat di hospital kira-kira seminggu lalu. Saya harap perjalanannya ke New York tidak dibayar oleh kerajaan,” katanya.
Kok turut memuat naik sekeping gambar didakwa memaparkan kelibat lelaki seakan-akan Jamal berdiri berhampiran Perdana Menteri. – Malaysiapost

