Ini julung kali keluarga anjur jamuan rakyat selepas ayahanda tiada – Nik Abduh

0
2

KIRA-KIRA 8,000 tetamu hadir manakala lebih 30 kawah gulai disediakan sempena majlis bekwoh (kenduri) kesyukuran perkahwinan dua anak Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz semalam.

Majlis tersebut diadakan di Masjid Tok Guru di Pulau Melaka, Kota Bharu – di kediaman keluarga Allahyarham bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berkongsi mengenainya, Nik Abduh berkata bekwoh kesyukuran itu diadakan sempena perkahwinan dua anaknya, Nik Ahmad Shah Waliyullah dan Nik Nurana Nazeehah dengan pasangan masing-masing.

“Majlis ini juga menjadi majlis kesyukuran keluarga Nikmatillah yang diketuai Tuan Guru Hj Nik Razi Nik Mat yang telah sepakat untuk menganjurkannya secara bersama.

“Selepas kematian al marhum ayahanda saya tujuh tahun lepas, inilah julung kalinya keluarga besar kami menganjurkan jamuan rakyat dengan jemputan kepada seluruh masyarakat setempat, terutama rakan taulan dan anak-anak murid kepada al marhum ayahanda  yang sememangnya dibayangi dengan memori kerinduan kepada al marhum.

“Harapan kami, dengan adanya majlis keraian dan bersua muka sesama mereka secara besar-besaran di rumah dan masjid Tok Guru Pulau Melaka, ia akan menghidupkan kembali memori indah saat bersama ayahanda tuan guru.

“Kecintaan kepada para ulamak adalah kecintaan yang akan kekal memberi nafas dan kebaikan dalam kehidupan. Dan ia benar-benar berlaku dan telah menjadi kenyataan pada hari tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Selain pimpinan PAS dan kerajaan negeri, turut hadir ke majlis itu ialah pemimpin Umno serta Parti Amanah Kelantan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada polis, Majlis Perbandaran Kota Bharu serta Jabatan Kerja Raya yang telah menerima permohonannya untuk turut sama membantu melancarkan majlis.

Katanya, ini terutama dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu lintas yang agak sesak pada waktu puncak.

“Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pengutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat.

“Akhir sekali saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada lebih 400 sukarelawan yang hadir membantu dengan penuh ikhlas dan gigih bagi memastikan kelancaran majlis kami,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here