SITUASI pelik disulami perasaan bercelaru melanda Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia menjadi bertambah pelik dan bercelaru apabila terdapat pemimpin pembangkang menyenaraikan 10 menteri kerajaan campuran hari ini tidak menunjukkan prestasi yang baik.
Namun pada masa sama katanya, mereka masih mahu kerajaan dterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sehingga tamat tempohnya.
“Sebenarnya kepelikan dan kecelaruan ini terjadi ekoran pembangkang amat takut untuk berdepan PRU15 kerana tahu mereka sedang ditolak oleh rakyat.
“Pembangkang Malaysia sedang menonjolkan kedua-dua kecelaruan dan kepelikan tatkala menyenaraikan 10 menteri kerajaan sebagai gagal.
“Pembangkang menyenaraikan ramai menteri gagal, namun membantah mandat diserahkan kepada rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan yang baharu,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, kecelaruan pembangkang terutama PH mula terserlah sejak menandatangani perjanjian persefahaman MoU dengan kerajaan pada September 2021
“Kancah politik difahami sebagai sesuatu yang dinamik, namun ‘kedinamikan’ tidak boleh disama ertikan dengan kecelaruan apatah lagi kepelikan.
“Tetapi dalam masa sama mahu terus menjadikan kerajaan campuran sebagai “punching bag” bagi menghasut kebencian menyebabkan mereka ‘cakap tak serupa bikin’.
“Kecelaruan pembangkang sebenarnya sudah pun terserlah sejak mendakwa kestabilan politik telah dibentuk di Malaysia kerana memeterai MoU dengan kerajaan.
“Kepelikan pembangkang, selepas menjalin MoU semakin kuat pula memburuk-burukkan kerajaan malah berusaha menggagalkan usul kerajaan di Parlimen,” katanya.
Menjelaskan mengenai pertumbuhan ekonomi, Ahmad Zahid berkata, BN telah terbukti membawa kemajuan ekonomi rakyat dan negara sebelum pilihan raya umum lalu.
“Menuduh orang lain gagal, tetapi mereka sebenarnya yang gagal apabila menyebabkan ekonomi negara merundum semasa menjadi tampuk kerajaan.
“Ekonomi pada zaman BN semakin bertumbuh dan bantuan kepada rakyat semakin bertambah sebelum berubah menjadi regresif selepas PRU-14.
“Pembangkang sejurus menguasai kerajaan selepas 9 Mei 2018 mengubah polisi ekonomi negara dan meminta rakyat berkorban serta ikat perut akibat kegagalan yang telah mereka lakukan.
“Pada tahun 2008 walaupun terdapat krisis kewangan global, ekonomi Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan BN mencatatkan pertumbuhan yang baik,” katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, satu-satunya pilihan yang ada untuk rakyat mengembalikan dan mengabsahkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh dengan memilih BN pada PRU15 nanti.
“Kerajaan BN pernah melakukannnya, Insya Allah kerajaan BN mampu melakukannya sekali lagi jika negara berdepan kegawatan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan,” katanya. – Malaysiapost

