GABUNGAN Solidariti Anak Selangor (GSAS) akan melancarkan kempen kutipan sumbangan Tabung Solidariti Bela Jamal sebagai tanda sokongan kepada Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, esok.
GSAS dalam kenyataan berkata, sumbangan wang tunai yang bakal dihimpunkan akan digunakan untuk membiayai kes-kes mahkamah dihadapi Jamal, dianggarkan berjumlah kira-kira RM600,000.
Katanya, anggaran itu termasuk kes tuntutan pemimpin DAP, Teresa Kok terhadap Jamal kerana pendedahan kecuaian serta kelemahan pengurusan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sehingga memungkinkan berlaku penyelewengan dana awam.
“Tabung Solidariti ini penting untuk kita sama-sama memberi isyarat jelas bahawa setiap perjuangan memerlukan sokongan, kesepakatan dan perpaduan semua untuk kita terus melawan dan mencapai kemenangan,” kata kenyataan itu.
Menurut GSAS, pihaknya yakin banyak pihak atau individu yang mempunyai kesedaran dalam semangat perjuangan sudi membantu Jamal kerana perjuangannya untuk membongkar penyelewangan, membela hak rakyat dan memastikan ketelusan dalam takbir urus kerajaan negeri Selangor.
“Justeru, GSAS ingin menyeru seluruh warga pembela rakyat dari kalangan orang ramai ataupun badan korporat untuk menyumbang kepada Tabung Solidariti ini.
“Supaya ia dapat sama membantu Jamal untuk terus bersuara lantang demi meneruskan kesinambungan dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat khususnya di Negeri Selangor,” katanya. – Malaysiapost

