Doa orang dizalimi pasti mustajab – Khairuddin 

0
1

BEKAS pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menzahirkan rasa syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini berkaitan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Umno tersebut yang dilepas serta dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan. 

“Alhamdulillah. Tahniah pada DS Ahmad Zahid Hamidi yang sabar dan tabah berhadapan ujian besar. Seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.  

“Itu prinsip Islam dan prinsip keadilan sejagat yang patut didokong oleh semua khususnya ahli politik Islam. 

“Doa orang yang dizalimi pada maruahnya pasti mustajab. Maruah yang tercemar boleh dituntut di Hari Akhirat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa melepas dan membebaskan Ahmad Zahid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie. 

Keputusan di akhir kes pendakwaan dibuat selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung 33 hari bermula 24 Mei tahun lalu. 

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN. 

Sementara, bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here