‘Ketika era PH, kamu Majlis Peguam atau Majlis Penasihat PH?’

0
1
KUALA LUMPUR 09 JULAI 2018. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

PEMUDA Umno mempersoalkan tindak tanduk Majlis Peguam ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang seolah-olah berperanan seperti Majlis Penasihat PH.

“Pada masa itu, mana suara korang (kamu)? Korang ni Majlis Peguam atau Majlis Penasihat PH?” soal Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook miliknya, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, Majlis Peguam dan Bersih hanya membisu apabila beberapa individu yang diragui statusnya dilantik memegang jawatan penting negara seperti lantikan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang ketika itu merupakan peguam bela Lim Guan Eng

“Apabila PH dapat kuasa jadi kerajaan, ini yang dilakukan mereka. Majlis Penasihat Kerajaan mereka mintak Ketua Hakim dan Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu untuk meletak jawatan dan kemudiannya masukkan Ketua Hakim yang menyokong PH selepas dicadangkan oleh Lim Kit Siang.

“Mereka singkir Peguam Negara dan gantikan dengan Tommy Thomas yang cenderung kepada PH, itu juga dicadangkan oleh Lim Kit Siang. Selepas itu, Peguam Negara ini lantik pula rakan sekutu Mahathir dan peguam Guan Eng sebagai Timbalan Pendakwaraya,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan PH turut melantik individu dipercayai terlibat dalam membantu Jho Low menyeleweng wang 1MDB sebagai anggota majlis penasihat kerajaan.

“Yang paling bagusnya majlis penasihat kerajaan ni, salah seorang anggotanya adalah wanita yang diakui oleh Peguam Negara bahawa dia bantu Jho Low untuk sakau atau curi duit 1MDB dan keluarga wanita itu terima hampir RM700 juta dari Jho Low.

“Wanita yang sama ini juga turut dilantik kerajaan PH jadi pengerusi PNB yang mengendali dana bernilai RM330 bilion,” katanya.

Asyraf menambah, paling ketara dapat dilihat sikap membisu Majlis Peguam apabila Lateefa Koya yang merupakan pemimpin PKR ketika itu, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Mereka lantik orang PKR paling senior sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Kemudian, diletakkan pula individu pro PH, Art Harun (Tan Sri Azhar Harun) sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya. Abangnya (Tan Sri Idrus Harun) pula dilantik sebagai Peguam negara untuk gantikan Tommy manakala Art Harun dilantik sebagai Speaker,” katanya.

Asyraf Wajdi turut membidas Majlis Peguam yang tidak mempertikaikan keputusan mahkamah menggugurkan kes-kes pendakwaan pemimpin PH selama 22 bulan mereka berkuasa sebagai kerajaan.

“Selepas dilantik, mereka gugurkan semua kes terhadap pemimpin PH, termasuk kes yang sudah dibicarakan di mahkamah seperti kes rasuah banglo Guan Eng dan kes Rafizi yang sudah masuk kes pembelaan.

“Malah, kes Wan Azizah dan PKR yang diperintah bayar RM2 juta kerana memfitnah FELDA turut dapat diskaun hingga RM70,000 sahaja, iaitu 96.5% diskaun.

“Yang paling mengagumkan, individu yang masih dibicarakan kerana RASUAH turut dilantik sebagai Menteri Kewangan untuk mengendalikan duit kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here