KERAJAAN komited memastikan pemansuhan hukuman mati mandatori dilaksanakan dengan jayanya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata ia susulan keputusan kerajaan pada 8 Jun lalu yang secara prinsip bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Katanya, keputusan dasar itu memberi kesan kepada 11 kesalahan yang diperuntukkan hukuman mati mandatori selain satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati dengan budi bicara mahkamah.
Sehubungan itu katanya, sesi libat urus diadakan bersama Ahli Dewan Rakyat dan wakil Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen semalam.
Wan Junaidi berkata, sesi perbincangan adalah berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang diperuntukkan hukuman mati mandatori dan 23 kesalahan yang membawa hukuman mati dengan budi bicara mahkamah.
Menurutnya, sesi libat urus turut dihadiri pegawaii kanan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Penjara.
“Semasa sesi tersebut juga, semua Ahli Dewan Rakyat dan wakil ketiga-tiga parti turut membincangkan lain-lain perkara dasar berbangkit berkaitan perkara ini, antaranya status moratorium pelaksanaan hukuman mati terhadap 1,337 banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati.
“Secara umumnya, Ahli Dewan Rakyat dan wakil BN, PN dan PH menyuarakan penghargaan kepada kerajaan atas kesungguhan untuk menjayakan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori ini.
“Tindakan ini dilihat sebagai satu langkah positif dan progresif ke arah melaksanakan perubahan besar untuk polisi penghukuman di negara ini dan bagi memastikan penambahbaikan sistem perundangan serta
keadilan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Wan Junaidi menjelaskan sesi libat urus itu suatu permulaan yang baik ke arah memastikan pembentangan kesemua pindaan akta yang terlibat pada sidang Parlimen, Oktober 2022 berjalan lancar.
Beliau turut menyatakan sebahagian input serta pandangan Ahli Dewan Rakyat dan wakil yang hadir akan dilaksanakan dalam kajian lanjut fasa kedua pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori ini.
“Antaranya merangkumi isu berkaitan pemenjaraan sepanjang hayat dan hukuman sebatan,” katanya. – Malaysiapost

