SEORANG pemimpin Umno menyarankan kepada PKR agar mencipta pula lagu dengan judul ‘Akulah PM Tepi’.
Sindiran itu dikemukakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi susulan lagu baharu nyanyian Altimet yang juga Ketua Cabang PKR Ampang berjudul ‘Aduh Malaysia’ yang berkisar mengenai penyamun, dipercayai merujuk kepada pemimpin Umno.
“Tadi dengar juga lagu baru PKR, “Akulah Penyamun”. Geli geman tengok Anwar dan Rafizi menyanyi ramai ramai. Elok lagu tu. PKR mengaku jadi penyamun. Anwar siap berdiri menyanyi.
“Lain kali buat pula lagu Aku PM Tepi. Memang PKR kaki nyanyi rakyat,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.
Untuk rekod, PM Tepi adalah sindiran segelintir pemimpin terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih belum menjadi Perdana Menteri walaupun sebelum ini mendakwa telah mendapat sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen.
Baru-baru ini, Altimet tampil dengan lagu barunya ‘Aduh Malaysia’ dalam acara Rapat Mega Keadilan di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati di ibu negara.
Lagu mengenai penyamun itu diperdengar kepada semua yang hadir di acara tersebut termasuk Anwar dan Rafizi.
Menurut Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, tajuk lagu itu diambil daripada inspirasi pergerakan yang dilancarkan oleh Rafizi iaitu ‘Ayuh Malaysia’.
Antara lirik lagu berkenaan adalah “Hoi hoi ya hoi siapa sokong penyamun? Hoi bangun yang lama mengelamun. Duit kau aku, semua dia sapu”. – Malaysiapost

