PM bincang tarikh PRU15 dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tarikh bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

Ismail Sabri berkata, beliau akan membawa pendapat semua pihak berhubung bila tarikh PRU15 patut diadakan.

“Rabu ini akan ada mesyuarat Kabinet sebelum berlepas ke Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA). Saya akan bawa dalam Kabinet juga.

“Apa yang disebutkan oleh semua pihak. Kalau (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) kata nak PRU15 cepat tidak kira sebab, kita akan bincang dalam Kabinet kerana ada wakil dalam Kabinet. Ada wakil Bersatu, GPS dan Umno,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perbincangan mengenai tarikh PRU15 yang dilakukan dengan jemaah Menteri mungkin lebih awal daripada perbincangan beliau dengan ‘Top Five’ Umno.

“Secepat mungkin, mungkin lebih mendahului daripada Top Five. Hari Rabu ini akan ada mesyuarat Kabinet sebelum berlepas ke UNGA. Mungkin saya boleh bawa dalam mesyuarat Kabinet minggu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau akan bertemu ‘Top Five’ Umno pada 30 September depan sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno diadakan.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berpandangan adalah wajar Ismail Sabri membubarkan Parlimen secepat mungkin bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan yang lebih efektif.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu menegaskan, apa yang dilihat beliau ialah situasi pengurusan ekonomi dan negara pada masa kini agak meruncing.

Muhyiddin berkata, terdapat beberapa perkara yang telah dibangkitkan oleh MPN, namun hal itu seperti tidak dipandang serius oleh Ismail Sabri serta barisan Jemaah Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here