CEO GLC, GLIC kena isytihar harta kepada SPRM – PM

0
2

KETUA pegawai eksekutif (CEO) daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu antara diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, hari ini.

Perdana Menteri berkata, arahan pengisytiharan harta turut membabitkan ahli badan kehakiman.

Ismail Sabri turut menegaskan, mekanisme perisytiharan harta anggota pentadbiran, ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara oleh SPRM akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti dan integriti pentadbiran kerajaan.

Justeru, pindaan dan penambahbaikan terhadap Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sedia ada akan dilaksanakan.

Manakala, katanya, satu kod etika baharu akan turut diperkenalkan untuk Ahli Parlimen dalam Akta 347 dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislatif.

Ismail Sabri berkata, perincian berhubung kod etika baharu ini akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat JKKMAR akan datang.

“Mesyuarat juga membuat ketetapan untuk melaksanakan penilaian semula hala tuju Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan peruntukan geran tahunan yang tetap melalui Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bagi tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga 2025, bagi tujuan pelaksanaan program pemantapan dan pengukuhan integriti di Malaysia.

“Peranan IIM akan diperkukuhkan berdasarkan tiga fungsi teras utama merangkumi aspek pendidikan, advokasi dan latihan, penyelidikan dan penerbitan serta kerjasama strategik.

“IIM juga akan diberi peranan melaksanakan model perniagaan secara hibrid untuk membantu mengukuhkan integriti sektor awam dan swasta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri juga berkata, mesyuarat turut bersetuju melaksanakan pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi memperkasakan profesionalisme dan menjamin kebebasan peranan Ketua Audit Negara.

Menurutnya, pindaan itu membabitkan peruntukan akta bagi menghalang pembabitan Ketua Audit Negara dalam aktiviti atau jawatankuasa perkhidmatan Persekutuan atau negeri.

“Pembabitan Ketua Audit Negara dibolehkan dalam jawatankuasa di peringkat dasar. Bidang tugas Ketua Audit Negara diperluaskan bagi mengaudit mana-mana badan lain termasuk syarikat yang mempunyai kepentingan kerajaan, tertakluk kepada budi bicaranya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan juga bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Pertukaran Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang akan melakukan pertukaran pegawai PBT ke PBT lain.

Beliau berkata, melalui jawatankuasa itu, pegawai PBT yang berkhidmat di tempat sama dalam tempoh lama boleh ditukarkan ke PBT yang lain.

“Satu garis panduan sebagai rujukan akan dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bagi membolehkan perkara ini dilaksanakan di semua PBT di seluruh negara,” katanya.

Mengenai penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik, Ismail Sabri berkata, ia akan dikawal selia entiti bebas dikenali Pengawal Selia Sumbangan Politik di peringkat Persekutuan dan negeri.

Katanya, pandangan daripada pihak berkepentingan termasuk parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU itu sebelum ia dibentangkan untuk bacaan pertama pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

“Kerajaan sentiasa komited memantapkan nilai integriti dan memastikan ketelusan tadbir urus negara dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here