Nahar Tajri
PIHAK pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak sebahagian keterangan saksi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam prosiding rasuah penyewelengan dana Yayasan Akalbudi, hari ini.
Dalam prosiding hari ini, Mahkamah mendengar keterangan saksi kedua pembelaan, iaitu Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican yang juga Pengarah Media, Ahmad Zahid selaku Presiden Umno.
Ketika pernyataan saksi itu dikemukakan dan dianggap sudah dibaca oleh mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran bangun dan mengemukakan bantahan terhadap perenggan 16 hingga 31 berkaitan bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang juga saksi pendakwaan.
Raja Rozela berhujah supaya pernyataan bertulis Fadzlette dipadam dan tidak dimasukkan sebagai keterangan kerana ia tidak relevan dan tidak boleh diterima kerana hanya mengandungi fakta-fakta sampingan.
“Hakim ada kuasa untuk mengawal apa yang boleh diterima dan tidak … keterangan saksi mestilah relevan dan berkait kepada fakta, tetapi dalam kes ini, ia hanya keterangan sampingan dan fakta sekunder yang yang tiada kaitan dalam isu perbicaraan ini.
“Keterangan mengenai Mejar Mazlina yang rasuah dan berat sebelah sudah berulang kali dibangkitkan dalam perbicaraan ini, jika diterima masuk, ia menyebabkan isu ini tiada kesudahan,” katanya.
Sementara itu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik memohon diberikan masa sehingga esok untuk meneliti dan menjawab hujahan pendakwaan.
Pihak pembelaan katanya, sudah dibekalkan dengan keterangan saksi itu sejak 14 hari lalu namun baru mengemukakan hujah supaya beberapa perkara dalam keterangan itu dibuang hari ini.
Justeru katanya, pihak pembelaan memerlukan sedikit masa untuk meneliti semula dan mengemukakan hujahan balas.
Permohonan pembelaan itu dibenarkan oleh mahkamah.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, Mazlina yang diamanahkan menjaga akaun yayasan dan akaun peribadinya, melakukan kecuaian ketika membuat transaksi pembayaran kad kredit miliknya.
Katanya, kecuaian yang dilakukan Mazlina itu membabitkan transaksi yang menunjukkan terdapat lebihan dan kekurangan pembayaran kad kredit yang dibuat menggunakan duit yayasan dan Mazlina sendiri melalui keterangan di mahkamah mengakui cuai ketika mengendalikan perbelanjaan kad kredit berkenaan. – Malaysiapost

